SILAT CEKAK SILAT PAPAN SEKEPING

 

[ASAL-USUL] [PENGERTIAN] [KEASLIAN] [PENGASAS] [GURU UTAMA] [MATLAMAT]

[PANTANG LARANG] [SISTEM PELAJARAN] [KAEDAH] [SENJATA RASMI]

[LAMBANG] [SALASILAH] [ARTIKEL 1] [ARTIKEL 2] [ARTIKEL 3] [PANTUN&LAGU]



   

ASAL-USUL SILAT CEKAK


Seni Silat Cekak datang dari utara Malaysia. Pernah digunakan oleh panglima-panglima kanan kerajaan negeri Kedah kira-kira satu abad yang lalu, di dalam peperangan menentang pencerobohan di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1854-1879).

Panglima Ismail, salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang pernah menewaskan seorang Batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) di Kerian, Perak. Di waktu itu di bawah pemerintahan kerajaan Kedah. Beliau telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid.

Panglima Tok Rashid yang berasal dari Sungai Daun, Kedah bersama isterinya telah meninggalkan kampung halamannya kerana diserang wabak taun, menuju ke Kerian lebih seratus tahun yang lalu. Panglima Tok Rashid yang telah lanjut usianya telah menurunkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said sebagai pemegang amanah yang berasal dari Batu Kurau, Taiping Perak.

Panglima Tok Rashid telah meninggalkan wasiat kepada Yahya Said yang ketika itu berusia 20 tahun,
"jika ada anak cucuku dari Kedah yang hendak belajar silat ini hendaklah kau pulangkan kembali." Silat ini telah dipendam oleh beliau selama 40 tahun.

Yang Mulia Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah, dengan daya usahanya melalui pertemuannya dengan Yahya Said dan kerana minatnya yang mendalam terhadap silat ini, beliau telah dapat mewarisi kembali seni pusaka bangsa ini daripada Yahya Said.

Pada 5hb Ramadan 1383 Hijrah bersamaan 28 Disember 1965 bertempat di rumah Shafie bin Darus, Batu 4 1/4 Jalan Gunung Alor Setar Kedah, Silat Cekak telah berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964 (PSSBSK).

Kemudian Silat Cekak ini telah diperkenalkan dan dikembangkan melalui Persatuan Seni Silat Cekak Kedah, Malaysia dan pada tahun 1971 bergerak melalui Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

PENGERTIAN PERKATAAN CEKAK



'Makan Cekak' merupakan peribahasa Melayu Kedah membawa pengertian kesanggupan, keupayaan dan rasa tanggungjawab menjalankan tugas. Tegasnya Seni Silat Cekak adalah seni silat yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri.

'CEKAK' dalam bahasa Minangkabau ialah Cakak. Maksud cakak ialah gaduh. Jadi Silat Cekak adalah silat gaduh. Bukan tujuan utama Silat Cekak untuk bergaduh tetapi silat ini boleh digunakan untuk menjaga keselamatan diri di dalam pergaduhan

'SECEKAK' bermaksud segenggam. Bermakna Silat Cekak mengajar yang segenggam bukannya segantang. Segenggam kepunyaan guru. Ini bermakna mata pelajaran Silat Cekak merupakan intisari mata pelajaran silat sahaja (segenggam). Bukannya cabang silat yang banyak.

'CEKAK' bererti ringkas dalam bahasa Jawa. Silat Cekak mudah dipelajari melalui sistem mata pelajaran yang teratur dan ringkas. Tak perlu mengelak ke kiri dan ke kanan, hanya berdiri lurus ketika menunggu serangan. Bergerak di dalam gerak yang satu.

'CEKAK' bererti pegangan iaitu silat ini mempunyai pendirian, pegangan dan tujuannya yang sendiri. Mempelajari silat bukan untuk bermegah-megah, sombong, menceroboh, mengikut nafsu tetapi sebenarnya untuk menjaga diri, bangsa dan agama.


KEASLIAN SILAT CEKAK



Keasliannya dapat dibuktikan dari perkataan yang digunakan iaitu Cekak di mana ianya benar-benar nama Melayu asli.

Gerak gerinya pula merupakan gerak-geri semula jadi manusia (gerakan normal).

Kaedah Silat Cekak tidak bercampur aduk dengan kaedah ilmu mempertahankan diri daripada luar negeri.

Kaedah-kaedahnya tidak perlu direka-reka, dikurangkan atau ditokok tambah walaupun berlaku perubahan zaman.

Keaslian Silat Cekak ini dapat dilihat dari kesanggupannya untuk mempertahankan diri.


BIODATA PENGASAS SENI SILAT CEKAK
 


Allahyarham Ustaz Hj. Hanafi B. Ahmad telah dilahirkan pada tahun 1923 di Kg. Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan seorang yang suka menuntut ilmu tidak kira dalam bidang apa sekali pun. Justeru itu, beliau telah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah dan kemudiannya beliau beralih pula di sekolah pondok di Kg. Alor Goncah, Mukim Gunung dan juga di Guar Cempedak, Gurun Kedah. Setelah itu, beliau menjadi murid kepada Hj. Bukhari, Hj. Hassan, Hj. Hanafiah dan Hj. Lah.

Pada tahun 1942, ketika beliau berumur 19 tahun, beliau telah berguru dengan Pak Ngah Sharif seorang pendekar handal. Pak Ngah Sharif ini juga sememangnya pakar dalam ubat-ubatan tardisional Melayu. Kemudiannya, Al-Marhum, merantau ke pelusuk rantau dan berpeluang berjumpa dengan beberapa orang masyhur seperti Chek Salleh Hj. Abdul Rahman Limbung, Kiai Muhamad Fadhullah Suhaimi, Sheikh Osman Cincin dan Chek Lah Keramat. Sementara itu, ketika berumur 34 tahun (1957), beliau telah berguru dengan Hj. Zain B. Lebai Abdul Rahman.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Maimunah bt. Osman ketika berusia 25 tahun (1947). Di sepanjang hayatnya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Zakat di Pejabat Zakat Negeri Kedah tetapi akhirnya beliau berhenti kerja dan berniaga apam balik di Yala, Siam dan Pekan Rabu, Alor Setar.

Allahyarham Ustaz Hanafi di sepanjang hayatnya merupakan seorang yang berani tetapi bukanlah seorang yang garang mahu pun sombong ataupun angkuh. Beliau meminati seni mempertahankan diri khasnya silat. Kerana itulah, beliau sanggup merantau untuk mencari dan mendalami ilmu silat ini. Di sepanjang perantauan beliau, beliau telah mempelajari Silat Sendeng, Silat Gayung Patani, Silat Terlak dan Tomoi Siam. Akhirnya, beliau telah bertemu dengan Yahya Said dan bermulalah era di mana Ustaz Hanafi menjadi murid kepada Yahya Said dalam mempelajari Seni Silat Cekak.

Allahyarham Ustaz Hanafi adalah seorang pentadbir yang cekap dan tidak bersifat kuku besi. Beliau sering mendengar pandangan anak muridnya dan telah menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi mentadbirkan persatuan. Beliau juga merupakan salah seorang daripada pengasas Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) dan terlibat dalam merangka perlembagaan PESAKA.


Diubahsuai dari Buku Cenderamata Perayaan 30 tahun Cekak


BIODATA GURU UTAMA
 


YM Tuan Hj. Ishak bin Itam berasal dari Negeri Kedah Darul Aman dan dilahirkan pada tahun 1935. Ibu beliau bernama Patimah bt. Mat Din. Ayah beliau ialah Itam B. Saad. Setelah umur beliau meningkat 19 tahun, beliau telah berkahwin dengan Hajjah Radzyah Bt. Said pada tahun1953. Beliau telah mendapat pendidikan ugama secara formal di Pondok Tuan Hj. Mad Salleh Mesir, Tanah Liat, Bukit Mertajam dan Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad Bin Tuan Haji Hussein. Beliau juga pernah mendalami bidang rawatan ubat tradisional terutamanya rawatan penyakit kencing manis.

Beliau amat meminati dunia persilatan semenjak dari kecil lagi. Ketika beliau berumur 9 tahun, bapa saudara beliau iaitu En. Bakar B. Din telah mengajarnya Silat Gayung Patani sehinggalah beliau berumur 18 tahun. Namun, beliau terus menambahkan ilmu di dada dengan mempelajari Ilmu Silat Kuntau Jawa daripada Hassan Jawa selama 2 tahun. Usaha mendalami ilmu silat diteruskan dengan mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau. YM Tuan Hj. Ishak B. Itam juga pernah menjadi guru tomoi Siam selama 2 tahun setelah tamat mempelajari tomoi Siam dari En. Osman B. Ahmad. Setelah itu, beliau meneruskan pula perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi di dalam Silat Cekak sebagai Guru Utama merangkap Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Maka, sekarang ini, genaplah 53 tahun YM Tuan Hj. Ishak B. Itam menceburi dunia persilatan. Beliau telah mula mempelajari Silat Cekak pada tahun 1969 semasa Al-Marhum Ustaz Hanafi B. Hj. Ahmad mula membuka kelas latihan di Kubang Semang, Bukit Mertajam yang mana beliau merupakan penuntut yang ke-17. Beliau berjaya menamatkan Silat ini setelah mempelajarinya selama 2 bulan 10 hari iaitu sebanyak 30 kali latihan.

Al-Marhum pernah menunjukkan gambar YM Tuan Hj. Ishak kepada anak Al-Marhum iaitu Mokhtaruddin B. Hanafi sambil berkata, "Ini ada seorang, boleh jadi pengganti." Mokhtaruddin bertanya, "Orang apa?, Bangsa apa? Keling ke, Jawa ke, Melayu ke?" Jawab Al-Marhum Ustaz Hanafi, "Orang Melayu, namanya 'Ak Pak Itam." Perkara ini terjadi tanpa diketahui oleh YM Tuan Hj. Ishak. Sebaik sahaja beliau tamat, beliau telah dilantik sebagai jurulatih serta sering membantu Allahyarham Ustaz Hanafi membuat penerangan dan demonstrasi.

Beliau mula mengajar di Kampung Paya, Bukit Mertajam dan akhirnya beliau telah dikurniakan mandat oleh Al-Marhum untuk mengajar Seni Silat Cekak di Seberang Jaya dan Pulau Pinang. Banyak pengalaman pahit manis yang beliau tempohi semasa mengajar di kedua-dua tempat. Pernah suatu ketika, beliau mengajar 2 kelas dalam sehari seramai 80 orang penuntut di 2 tempat berasingan tersebut dengan terpaksa menyeberang menggunakan feri. Setelah Al-Marhum Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Hj. Ishak B. Itam telah diisytiharkan sebagai Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama yang diijazahkan oleh beliau ialah di UPM
pada 13 Oktober 1986.

Diubahsuai dari Buku Cenderamata Perayaan Kemuncak 30 Tahun Cekak

 

MATLAMAT SILAT CEKAK


Menghidupkan, memperkenalkan serta mempersebatikan pusaka bangsa yang merupakan seni kebudayaan keturunan yang hampir dilupakan.

Menanam perasaan cinta dan kasih akan hak dan warisan mutlak bangsa Melayu.

Menanamkan semangat bahawa kitalah yang bertanggungjawab menjaga diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Memberi pengertian tujuan dan matlamat bersilat dan menanam matlamat sebenar hidup itu.

Membasmi dan menentang tahyul dan khurafat yang tidak sesuai dengan iktikad Islam.

Menanamkan semangat dan roh Islam sebagai pegangan bagi menghadapi semua keadaan.

PANTANG LARANG SILAT CEKAK

Tidak boleh menderhaka kepada guru.

Tidak boleh menderhaka kepada ibu.

Tidak boleh menderhaka kepada bapa.

Tidak boleh bergaduh sesama ahli Silat Cekak.

Tidak Boleh Mencaci silat-silat Melayu asli yang lain.



SISTEM PELAJARAN


Seni Silat Cekak ialah sejenis silat yang benar-benar asli dan bertanggungjawab untuk mempertahankan diri. Bukannya sejenis silat permainan (Silat Pulut atau Silat Pengantin), sebab itu tiada gendang, tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan.

Seni Silat Cekak mempunyai kaedah-kaedah yang tetap, yang tidak boleh diubah-ubah dengan mempunyai buah-buah pukulan yang cukup dan kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Jadi tidak perlu ditokok tambah dengan buah-buah silat lain sama ada dari dalam mahu pun luar negeri.

Pergerakan dan sistem silat ini sesuai benar dengan gerak geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama Islam.

Pelajarannya lebih menitikberatkan segi mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Cekak menyerang.

Yang paling istimewa dan ganjil sekali adalah di dalam kaedah serangannya iaitu di kala Cekak menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena serangannya dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Keduanya pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap). Menurut penyelidikan yang dibuat tidak ada satu silat yang sekiranya ia menyerang ia dapat menangkap.

Cekak menunggu serangannya dengan berdiri lurus (berdiri sembahyang) tidak berkuda-kuda dan tidak melangkah ke kiri dan ke kanan, bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak sebab sebenarnya hakikat Silat Cekak ialah Silat Gerak.

Penuntut-penuntut dilatih di waktu menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja, tidak menggunakan sistem dua pisau (Cekak tak berpisau, musuh berpisau) atau dua tongkat. Matlamat Silat Cekak ialah menangkis pukulan senjata sambil merampas senjata lawan.



KAEDAH PERSILATAN


Kaedah A adalah diilhamkan daripada gerakan doa. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 11 buah iaitu:

Buah Pertama
Buah Kilas Belakang
Buah Kidung Kiri
Buah Hentak
Buah Ali Patah Atas
Buah Ali Patah Sudah Pecahan Pertama
Buah Selendang
Buah Paras
Keputusan Pasong Kemanga
Buah Luncur
Buah Siku Potong

Kaedah B adalah diilhamkan dari gerakan Qiam dalam sembahyang. Daripada kaedah Qiam ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 5 buah iaitu :

Keputusan Gayung Fatani
Keputusan Sendeng Atas
Buah Kuntau Jatuh
Buah Gari
Buah Ali Patah Sudah Pecahan Kedua

Kaedah C adalah diilhamkan dari gerakan rukuk dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 3 buah iaitu :

Buah Kilas Hadapan
Keputusan Terlak
Keputusan Lintau

Kaedah D adalah diilhamkan oleh gerakan takbiratul ihram dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 2 buah iaitu :

Buah Kuntau Kiri
Buah Hempok



SENJATA RASMI SILAT CEKAK
 

Seperti silat-silat lain Silat Cekak mempunyai senjata rasminya sendiri iaitu parang lading; yang hanya terkenal di Negeri Kedah Darulaman. Senjata ini digunakan oleh pengamal Silat Cekak untuk menangkis segala jenis serangan tangan kosong atau bersenjata tajam.

Sungguhpun demikian, Parang Lading ini hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang telah mencapai satu peringkat tertentu serta terbukti kesetiaannya kepada persatuan. Selalunya mereka yang mendapat anugerah ini adalah mereka yang telah bergiat aktif di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun. Saiz dan rupa parang lading ini bergantung kepada sipemakainya kerana setiap pemakai mempunyai ukurannya tersendiri. Berikut adalah gambar parang lading:






Panjang parang ini adalah sama dengan jarak dari telinga kiri ke mata kanan atau dari telinga kanan ke mata kiri sipemakai.

Falsafahnya: Apa yang terlihat dan terdengar pasti kena.

Lebar parang di sebelah hulu adalah sama dengan lebar kuku ibu jari si pemakai.
 

Lebar di hujung parang ini adalah sama dengan panjang ibu jari si pemakai.

Panjang mata parang pula adalah sama dengan jarak diantara dua mata si pemakai.

Hulu parang ini mengambil bentuk tapak rusa dan dibuat dari tanduk kerbau betina.

Parang Lading ini bukanlah boleh digunakan untuk menyerang tetapi hanya digunakan untuk menunggu serangan dari segala jenis senjata, kecuali senjata api.




  LAMBANG PERSATUAN SENI SILAT CEKAK


Lambang persatuan terdiri daripada warna merah,biru tua, hijau, kuning, hitam dan putih. Pengertian simbol yang terdapat pada lambang berkenaan adalah seperti berikut:-

Bintang Pecah 21 - kaedah pembelajaran Silat Cekak mengandungi 21 buah untuk mempertahankan diri.

Dua bilah Parang Lading bersilang -Parang Lading senjata rasmi Silat Cekak merupakan senjata asli orang Melayu yang khasnya digunakan untuk mempertahankan diri.

Segemal Padi - Bererti silat ini lahir dari masyarakat petani yang rasminya makin berisi makin tunduk. Oleh itu silat ini tidak sesuai bagi mereka yang berjiwa sombong, bongkak, takbur, dan khianat. Ia juga menggambarkan silat ini berasal dari masyarakat petani di negeri Kedah Darul Aman.

Sebilah Keris - melambangkan kedaulatan raja-raja Melayu, bangsa serta negara Malaysia.

Tulisan Ahmad Muhammad timbal balik (jawi) - penekanan Silat Cekak terhadap asuhan jasmani dan rohani di kalangan pengamalnya.

Kuning - Melambangkan kedaulatan silat pusaka bangsa Melayu
Merah - Melambangkan kesanggupan untuk mempertahankan diri dengan menggunakan sistem Silat Cekak jika diceroboh
Biru Tua - warna rasmi Silat Cekak melambangkan asuhan Rohani dan jasmani
Putih - melambangkan suci dan bersih
Hijau - melambangkan keislaman


LAMBANG PERSILATAN
Lambang untuk kegiatan persilatan (gambar di atas) digunakan pada bendera, bahan bercetak dan pakaian seragam. Ia berwarna biru gelap dan kuning keemasan (atau putih).



SALASILAH GURU SILAT CEKAK

Panglima Ismail

Panglima Kanan Negeri Kedah di zaman Kesultanan Ahmad Tajuddin.

Panglima Tok Rashid

Panglima Kanan Negeri Kedah telah menerima Silat Cekak dari wasilah Panglima Ismail.

Yahya Said (Pemegang Amanah)

Menerima Silat Cekak dari Panglima Tok Rashid sebagai "Pemegang Amanah" selama 40 tahun dari 1925 hingga 1965.

Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad

Pengasas PSSCM dan sebagai Guru Utama merangkap Presiden dari 1965 hingga 1986.

Tuan Haji Ishak bin Itam

Guru Utama merangkap Presiden PSSCM mulai dari 21 September 1986 hingga sekarang.



ILMU BELA DIRI DARI PERSPEKTIF ISLAM
Y. M. Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.


 

Dalam kertas ini ilmu bela diri adalah dimaksudkan dengan ilmu untuk mempertahankan diri daripada ancaman-ancaman, pencerobohan-pencerobohan dan keganasan-keganasan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab khususnya musuh Allah. Mempertahankan diri pula, dalam ertikata yang luas ialah mempertahankan diri sendiri dan apa jua yang berkaitan dengan diri atau agama, harta dan negara.

Dalam soal mempertahankan diri dari ancaman dan serangan musuh, ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa ilmu bela diri tidak lagi diperlukan kerana kita sudah ada senjata-senjata moden yang boleh membunuh musuh dari jarak jauh. Memang kita tidak menafikan kenyataan bahawa senjata moden itu dapat membedil musuh dari jarak jauh, namun kita berasa hairan kenapakah pada setiap muncung senapang ada diletakkan benet? Tujuan apakah benet itu diletakkan? Bukankah tujuannya untuk menikam musuh dari jarak dekat? Ini membuktikan bahawa ilmu bela diri masih diperlukan walaupun di zaman serba kemajuan yang mempunyai cukup senjata-senjata modennya.

Seperkara lagi, walaupun manusia telah dapat mereka berbagai-bagai alat dan senjata untuk menjamin keamanan manusia dari ancaman musuh, namun ternyata bahawa manusia masih lagi terdedah kepada berbagai-bagai jenis pencerobohan dan ancaman. Oleh itu persedian untuk menjaga diri, agama, harta dan tanahair sentiasa merupakan keperluan asasi lagi dituntut oleh agama.

Nyawa adalah hak Allah. Menjaga dan mempertahankan nyawa menjadi suatu kewajipan utama yang tidak dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun. Dengan itu mempelajari ilmu bela diri sebagai alat mempertahankan diri merupakan suatu perkara wajib. Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud "Dan sediakanlah apa jua jenis kekuatan yang kamu dapat sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, kamu menggentarkan dengannya musuh Allah dan musuh kamu dan musuh-musuh lain juga yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya".

Tuntutan agama supaya seseorang itu mempersiapkan diri dengan ilmu bela diri sudah tentu mempunyai banyak hikmat-hikmatnya yang tersembunyi. Salah satu hikmatnya yang paling nyata sekali ialah seseorang yang mempelajari ilmu bela diri, dia akan dipanadng mulia dan disanjung oleh sahabat dan masyarakatnya, namun sebaliknya pula pihak musuh merasai gentar dan gerun terhadapnya. Demikianlah kelebihannya orang yang memiliki ilmu bela diri.

Dalam surah al-Zumar, Allah berfirman dengan maksudnya : "…..katakanlah wahai Muhammad : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran." Dalam ayat yang lain Allah berfirman lagi dengan maksudnya : "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…"

Jelaslah di sini bahawa, kedudukan ilmu bela diri adalah penting dan tinggi statusnya di sisi Islam. Setiap orang hendaklah sedar tentang pentingnya ilmu ini dan mengambil langkah-langkah untuk mempelajarinya.

Bagi bangsa Melayu, ilmu bela diri yang harus dipelajarinya ialah ilmu sifat, kerana di samping ianya dapat digunakan untuk membela diri ia juga merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada masa sekarang berbagai-bagai jenis ilmu silat Melayu boleh ditemui dan dipelajari. Di antaranya ialah Seni Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Petani, Silat Lincah dan Silat Sendeng. Namun persoalannya sekarang, adakah semua jenis ilmu-ilmu silat Melayu itu benar dan sejajar dengan ajaran dan akidah Islam?

Bagi menjawab persoalan tersebut, seseorang itu hendaklah mengkaji dan menyelidiki dengan teliti jenis-jenis ilmu silat Melayu yang ada, untuk mempastikan kebenarannya sebelum mempelajarinya. Ringkasnya, saya dapat jelaskan bahawa ilmu silat yang sebenar itu mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti berikut :

Bahawa ilmu silat tidak mengamalkan adat-adat istiadat yang berunsur tahyul dan khurafat; Bahawa ilmu silat itu melatih serta mendidik ahli-ahlinya dengan keberanian bukan mengganas atau menceroboh; dan Bahawa ilmu silat itu mengamalkan ilmu kebatinan yang sebenarnya.
Seni Silat Cekak adalah sejenis silat Melayu yang asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri. Adat-adat istiadat yang digunakan dalam silat ini adalah bersih dan jauh dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sesungguhnya Silat Cekak sememangnya mendokong cita-cita untuk membanteras amalan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam silat-silat Melayu. Antara amalan-amalan karut yang pernah diamalkan oleh setengah-setengah silat ialah membedah dada ayam yang masih hidup untuk melihat hati dan jantungnya bagi tujuan ilmu bela diri; menyapu darah ayam pada kaki untuk untuk mendapat mimpi atau ilham tertentu; menyiram darah ayam di sekitar gelanggang silat untuk meminta sesuatu hajat dan lain-lain lagi. Kita ingin bertanya, untuk siapakah darah ayam itu disiram? Bukankah untuk jin?

Dari segi pelajaran, Seni Silat Cekak mempunyai kaedah pelajaran yang tetap dengan buah-buah pukulan yang cukup lagi kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Pergerakannya pula sesuai benar dengan gerak-geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama. Pelajaran Seni Silat Cekak tidak sepeti kebanyakan silat-silat lain. Ia lebih menitik beratkan kepada mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh.

Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajur supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Firman Tuhan dengan maksudnya : "Sesiapa yang memusuhi kamu, maka hendaklah kamu memusuhinya sebagaimana dia memusuhi kamu." Pelajaran silat yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bogkak di kalangan ahli-ahli silat akan tetapi mendorong mereka berlaku kasar dan ganas.

Di samping Silat Cekak melatih sifat keberanian yang merupakan sifat lelaki (rijal) ia juga mendidik ahlinya berperangai baik, hidup bersaudara dan menganjur mereka patuh kepada guru dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa. Islam menyuruh patuh kepada guru dan kedua ibu bapa dan melarang keras perbuatan menderhaka kepada mereka. Pendidikan supaya patuh kepada guru dan kedua ibu bapa serta kelebihan-kelebihannya ada dirakamkan di dalam pantun Silat Cekak berikut sebagai rujukan ahli-ahli :

Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Taat kepada guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasa kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhir kelak merosak kita.


Seni Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak; makan gerak di dalam gerak. Adalah mustahil sama sekali dalam suatu ketika itu berlaku dua gerak.

Pada pandangan Seni Silat Cekak, ilmu kebatinan yang sebenar itu ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah itu ialah untuk membersihkan hati dari penyakitnya seperti megah, riya' dan dengki dan supaya hati sentiasa ikhlas terhadap Allah. Setelah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.

Golongan yang menjalani ilmu kebatinan seumpama ini adalah mereka yang berpegang teguh dengan ilmu hakikat dan menganut sepenuhnya ilmu syariat yang kedua-keduanya dari syariat nabi besar Muhammad S.A.W. Ilmu ini jika diperolehi, bermacam-macam kelebihan yang Allah kurniakan. Jika seorang pendekar, maka sangat pantas kaki tangannya. Tatkala berdepan dengan musuh mendapat maunah Allah, dan ketika berhujah dapat mematahkan hujah lawan dengan mudahnya.

Sekiranya kita tidak meneliti dan mendalami ilmu kebatinan yang sebenarnya ini, kita boleh tertipu dengan perkara-perkara luar biasa yang datangnya dari ilmu-ilmu kebatinan yang tidak sebenar, misalnya seseorang dapat membuktikan ilmu kebalnya dengan berjalan di atas bara api atau tidak mati walau ditanam di dalam tanah, maka kita boleh menyangka bahawa itulah ilmu batin yang sebenarnya.

Perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat bolehlah kita kategorikan kepada lima iaitu pertamanya mukjizat, ia diberi kepada rasul-rasul Allah; keduanya Irhas, ia diberi kepada nabi-nabi; ketiganya keramat, ia dikurnia kepada wali-wali Allah; keempatnya hikam/ma'unah, ia dikurniakan kepada orang-orang mukmin. Sementara kelimanya istidraj atau sihir, ia terjadi kepada orang-orang munafik, fasik dan kuffar.

Kesimpulannya bahawa Islam sememangnya memandang mulia terhadap ilmu-ilmu bela diri kerana ia adalah suatu cabang ilmu pengetahuan yang digesa untuk dipelajari. Walau bagaimanapun bidang-bidang ilmu bela diri bermacam-macam, ada yang sesuai dengan ajaran Islam dan ada yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ilmu bela diri yang sesuai dengan Islam ialah ilmu bela diri yang dapat mendidik peribadi ahlinya menjadi baik, berani dan mengarahkan mereka kepada bertakwa kepada Allah. Seni Silat Cekak merupakan sejenis ilmu bela diri bangsa Melayu yang asli yang boleh bertanggungjawab untuk mempertahankan diri serta selari pula dengan ajaran Islam yang sejati.




 


TENANG DALAM PERJUANGAN
Haji Ishak Itam
Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia


Seperti kata-kata yang telah mendahului kita; "… selagi bernafas, selagi itu hidup. Selagi hidup selagi itulah ilmu dicari. Ilmu yang tiada penghujung".

Begitu juga dalam perjuangan. Selagi bernyawa mereka yang sudah menyimpan atau perasaan yang sudah tersimpan akan terus bersemangat untuk langkah ke depan. Ada yang perlu bersingseng lengan, ada yang tidak perlu. Namun perjuangan peribadi wajar diaruskan supaya ia mengalir ke satu arah. Arah mungkin tidak menentu tetapi tetap kembali ke satu. Yang faham akan perjuangan tidak berganjak, yang mengerti erti perjuangan akan berlangkah untuk menyambung. Ini amanah dan ini juga amanat batin.

Haji Ishak Itam, Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia tahu erti-maksud perjuangan itu. Walaupun tidak pernah terfikir atau terlintas akan menjadi pemimpin tertinggi apatah lagi dapat kepercayaan ahli-ahli untuk menjadi guru utama sesebuah pertubuhan terbesar di negara ini. "Saya tidak pernah terfikir dan apabila diminta untuk menjadi guru utama, saya tersentak dan banyak berdoa…," kata Haji Ishak atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Ak'.

Ditanya mengenai perjuangan, dengan pantas tetapi senyum; "Masih banyak untuk diperjuangkan. Terutama dalam perpaduan antara umat Islam," Haji Ishak dilahirkan di Simpang 4 Kangkong, Batu 6, Alor Setar, Kedah kira-kira 63 tahun lalu. Ayah beliau keturunan Banjar manakala ibunya (Patimah Mat Din) dari Setoi. Dulu Setoi di bawah jajahan Kedah, kini di bawah jajahan Thailand. Haji Ishak adalah nombor tiga dalam bilangan 11 adik beradik.

Ikut sejarah, bapanya ada mewarisi darah pendekar dan ulama manakala ibunya pula Panglima Tahar iaitu seorang panglima seangkatan Panglima Ismail. Panglima-panglima ketika itu mengawal raja dan negeri serta mahir dalam seni tempur.

"Saya masih menyimpan senjata datuk saya seperti keris dan badik manakala tombak disimpan oleh adik saya (Ahmad Itam) yang tinggal di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam," kata Haji Ishak yang ditemui di Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Seperti pepatah; ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Haji Ishak mula mendapat dedahan ilmu persilatan dari bapanya ketika berusia sembilan tahun. Beliau mempelajari seni silat Gayong Fatani dengan bapa saudaranya (Bakar Din) hingga berusia 18 tahun sebelum beralih kepada Kuntau Jawa di bawah asuhan seorang guru dikenali Hasan Jawa."Sebagai penduduk kampung dan minat ketika itu pada ilmu persilatan. Kami mencari yang terbaik, jika tinggal jauh, kami jemput ke berbangsal di kampung kami," imbas Haji Ishak.

Sesudah Kuntau Jawa, seorang guru dari Pendang dikenal Tok Awang turut dijemput dari Bukit Kecik, Bukit Mertajam untuk mengajar."Kami bayar kepada beliau RM10 sebulan," ringkas Haji Ishak. Ilmu yang bakal diperolehi manusia hanya setitik di air laut. Haji Ishak terus dahagakan ilmu kependekaran. Beliau sedar, ilmu persilatan tiada noktah dan sempadan. Usaha untuk mencari guru terus memburu. Haji Ishak terus melangkah di gelanggang Silat Sendeng dan Silat Minangkabau. Dalam masa yang sama mempelajari Tomoi Siam dari seorang pemandu 'lori balak' bernama Osman Ahmad."Orangnya tinggi dan berfizikal tegap. Beliau dikenali Man Balak dan saya belajar hingga menjadi guru tomoi selama dua tahun, imbas Haji Ishak.

Pada tahun 1969, Haji Ishak diberitahu oleh seorang tukang gunting mengenai seorang guru silat yang terkenal dan telah membuka kelas di Kubang Semang. Kehebatan guru itu melalui cerita tukang gunting berkenaan telah menarik minat Haji Ishak. Beliau enggan melepas peluang untuk 'berdepan' dengan guru yang bernama Ustaz Hanafi Haji Ahmad. "Ini guru Tomoi Siam. Kenapa hendak belajar?" adalah antara kata-kata awal yang masih terpahat di ingatan Haji Ishak ketika menemui Ustaz Hanafi. Bak kata pepatah, lihat ikan di air sudah tahu jantan atau betina. Ustaz Hanafi 'kenal' seorang pendekar bila ditemui. Haji Ishak adalah murid ke 17 Ustaz Hanafi dan kegigihan beliau membuat dirinya tamat pelajaran hanya dua bulan 10 hari atau 30 kali berlatih. "Saya kagum dengan Silat Cekak. Almarhum Ustaz Hanafi suruh saya mencubanya dengan beberapa buah pukulan terbaik yang saya pelajari… saya tewas.

"Bagaimanapun balasan pukulan saya disambut dengan tidak mencederakan saya," ceritanya.
Sehubungan itu, Haji Ishak mengambil keputusan untuk terus bersama Silat Cekak dan menjadi jurulatih perguruan itu.

Kenapa beralih ke Cekak? Soal penulis. Haji Ishak dengan terbuka memberitahu banyak buah dari perguruan yang dipelajari tewas.

"Termasuk dapat mengatasi Tomoi Siam…," jawabnya ringkas.

"Hampir setiap malam latihan saya cuba Almarhum Ustaz Hanafi tetapi tak berjaya juga," senyum Haji Ishak.

Beliau kemudiannya mengajar kelas latihan Silat Cekak di Seberang Perai dan Pulau Pinang selain membuat penerangan dan demonstrasi.

Setelah Ustaz Hanafi meninggal dunia (13 Ogos 1986), Haji Ishak telah diisytiharkan sebagai Guru Utama pada 21 September 1986.

"Saya tidak pernah menduga untuk menjadi pemimpin. Saya sukar untuk membuat keputusan dan ketika itu banyak berdoa," ujarnya.
Mengenai Silat Cekak, Haji Ishak memberitahu pendidikan perguruan itu mengajar seseorang erti keyakinan.

"Cekak membawa erti tanggungjawab terhadap keluarga, diri dan sebagainya. Permainan Cekak berdiri lurus sama seperti seseorang itu diajar jangan berbohong sombong atau berdabik dada sebaliknya jujur, tetapkan pendirian dan pelbagai lagi," katanya.

 

 

PENDEKATAN ILMIAH DALAM SENI SILAT CEKAK
 

Pendahuluan

Sebagai mukadimah dalam menangani tajuk kertas kerja ini eloklah kita sama-sama renungi beberapa sedutan yang melibatkan pernyataan-pernyataan tentang aspek yang sama berhubung kait dengan tajuk kertas kerja ini.

a) Almarhum Ustaz Hanafi dalam ucapannya sewaktu menyambut perayaan 10 tahun Cekak pada 25 Disember 1975 bertempat di dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur, berkata :

"Walaupun nampaknya sebagai perkara biasa sahaja, namun sebenarnya dengan penerimaan penuntut-penuntut tersebut menunjukkan yang Silat Cekak itu Silat Melayu yang bermutu tinggi, yang sesuai dan boleh dikaji secara akademik dan saintifik yang mana dengan ini menyebabkan penuntut-penuntut yang bernas itu dapat menerimanya dengan mudah sekali." (Halimah Hj. Ahmad, ms 89)

b) Seterusnya dalam ulasan selanjutnya :

"Kaedah-kaedah Seni Silat Cekak dapat memberikan sebab dan akibat. Ia sesuai dengan hukum akal dan sainifik sekali."
(Halimah Hj. Ahmad, ms 116)
c) Profesor Datuk Shahnon Ahmad semasa berucap merasmikan Pameran Seni Silat Cekak Universiti Sains Malaysia di foyer dewan Tuanku Syed Putra pada sidang akademik 1988/89 berkata :

"…Pada pengamatan saya, Seni Silat Cekak ini begitu analitikal dan saintifik sekali."

d) Perlembagaan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menggariskan di dalam Peraturan 3 iaitu tujuan persatuan seperti berikut :

"Mempelajari dan mengkaji semua jenis silat untuk dibahas dan dijadikan bahan kajian ilmiah."
(Perlembagaan PSSCM, ms 2)

Pernyataan-pernyataan di atas dapat menggariskan sedikit sebanyak latar belakang bagi membimbing minda dalam membongkar dan seterusnya menguraikan skop perbincangan kita selanjutnya.

1. Takrif

Terdapat dua kata kunci yang perlu ditakrifkan terlebih dahulu sebelum kita dapat menyelami isi kandungan perbincangan kita seterusnya. Perkataan itu ialah pendekatan dan ilmiah.

2. Pendekatan

Mengikut Kamus Dewan Bahasa pendekatan ini bermaksud kaedah (cara, langkah-langkah dsb.) yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas (mempelajari masalah dll.).

Oleh itu dalam konteks Seni Silat Cekak, pendekatan ini merupakan cara mendekati atau kaedah yang digunakan dalam melaksanakan (mempelajari, mengajar, mendidik, mentadbir dll.) untuk mencapai matlamat sebenar Seni Silat Cekak.

3. Ilmiah

Kamus Dewan Bahasa menjelaskan maksud ilmiah sebagai sesuatu yang bersifat keilmuan atau boleh dikaji secara saintifik dan akademik serta analitikal sebagaimana yang kita boleh fahami daripada petikan-petikan pada permulaan kertas kerja ini.

4. Apakah Pendekatan yang Ilmiah dalam Seni Silat Cekak

Pendekatan menerusi penggunaan istilah dan bahasa yang tepat pada sasaran dan mempunyai makna yang mendalam.

Istilah-istilah dan makna bahasa yang digunakan khususnya istilah pokok seperti istilah 'Guru Utama', 'tempat latihan', 'ilmu batin' dan lain-lain lagi yang digunakan secara rasmi oleh Seni Silat Cekak menggambarkan kajian bahasa yang mendalam telah dibuat. Hal ini berlaku kerana pengasas Seni Silat Cekak ia itu Almarhum Ustaz Hanafi juga merupakan seorang pakar bahasa.

"Selain daripada menjadi Guru Utama Seni Silat Cekak, beliau pada masa yang sama adalah seorang nasionalis Melayu muslim yang bukan sahaja seorang ahli falsafah yang bijaksana serta pemimpin masyarakat tetapi juga ahli dalam aspek bahasa dan budaya."

(Perayaan 21 tahun Cekak, 1987. Keluaran khas)

Pada suatu ketika dahulu kebanyakan Silat Melayu menggunakan istilah "Mahaguru" kepada gurunya, tetapi Seni Silat Cekak menggunakan istilah "Guru Utama". Sebenarnya perkataan "Maha" ini tidak sesuai digunakan untuk seorang manusia yang bersifat baharu dan lemah, malahan dalam konteks persilatan sekalipun ia tidak tepat kerana membawa maksud guru kepada semua guru silat. Berdasarkan kepada makna bahasa dan konteks silat, istilah Guru Utama yang digunakan oleh Silat Cekak adalah yang paling sesuai sekali kerana ia membawa maksud ketua kepada semua guru di dalam sebuah perguruan silat. Dalam Seni Silat Cekak, Guru Utama menggambarkan satu-satunya guru yang memimpin dan mengetuai organisasi persilatannya.

Satu lagi contoh penggunaan istilah sebagai satu pendekatan ialah penggunaan istilah "tempat latihan" atau "kelas" merujuk kepada "gelanggang" silat. Berdasarkan kepada makna bahasa, istilah gelanggang ini membawa merujuk kepada permainan atau sukan seumpama gelanggang tenis dan digunakan untuk bertarung, sedangkan yang sebenarnya berlaku ialah belajar dan mengajar bersilat. Oleh itu istilah tempat latihan atau kelas adalah lebih tepat digunakan.
Banyak lagi contoh-contoh bagaimana bahasa dan istilah yang digunakan oleh Silat Seni Cekak sama ada oleh para pemimpin dan pendukungnya menpunyai makna yang tepat dan merujuk kepada keunggulan matlamatnya. Sehingga perkataan yang menbentuk nama Seni Silat Cekak sendiri boleh dikupas dari segi asas bahasa dan pegertiannya. Hal ini menunjukkan terdapatnya kajian bukan sekadar ikut-ikutan atau andaian yang tidak berasas dalam Seni Silat Cekak.

Pendekatan menerusi bahasa dan istilah sebenarnya amat mustahak dalam melahirkan dan menyampaikan sesuatu wawasan khususnya kepada cerdik pandai yang sentiasa berfikiran kritikal.

5. Pendekatan menerusi konsep dan falsafah yang dibawa oleh Seni Silat Cekak

Seni Silat Cekak mengutarakan konsep dan falsafah silat yang bernas serta selari dengan prinsip dan akidah Islam. Konsep dan falsafah Silat Cekak merupakan satu pendekatan yang amat berkesan dalam "mencelikkan mata hati" penuntut-penuntut untuk menghayati perjuangan yang dibawanya.

Sebagai contoh, konsep "berdiri lurus" ketika menunggu serangan yang dibawa oleh Seni Silat Cekak amat bercanggah dengan kebanyakan ilmu bela diri lain yang menggunakan "kuda-kuda". Konsep berdiri lurus yang dianjurkan oleh Seni Silat Cekak membawa maksud orang yang mempunyai pendirian (pegangan hati) bukan sekadar berdiri cara ini pada zahirnya mempunyai kelebihan kepada pengamalnya apabila diserang musuh. Alasan berdiri lurus merupakan pendirian normal "manusia" juga tidak dapat disangkal kerana ia lebuh stabil dan merupakan pendirian yang tidak mencabar malahan merendah diri atau sebagai "resmi padi".

Konsep mempertahankan diri yang dianjurkan oleh Seni Silat Cekak iaitu hampir 99% mata pelajarannya dalam bentuk "mempertahankan diri" dan hanya 1% sahaja menyerang, itu pun pada penghujung pelajaran iaitu setelah tamat sekiranya dikaji dari sudut pendidikan mempunyai banyak kebaikannya. Konsep ini sebenarnya mendidik pelajar menjadi berani bukannya garang, kerana berani itu sifat "insan", garang serta suka menceroboh itu sifat "haiwan". Oleh itu sifat yang mengajar muridnya menyerang dahulu pasti akan melahirkan pesilat yang bersifat negatif seumpama suka mencari gaduh dan sombong diri.

Falsafah silat "pakai tak pakai, tak pakai pakai" lahir setelah penuntut Seni Silat Cekak sampai ke akhir peringkat buah potong ialah satu pendekatan yang menghendaki pengamalnya sentiasa menggunakan akal yang waras yang dikurniakan oleh Allah bukan semata-mata mengikut hawa nafsu.

Terdapat banyak lagi pendekatan menerusi konsep dan falsafah silat yang dibawa oleh Seni Silat Cekak yang lazimnya akan dijelaskan oleh Jurulatih atau Guru Utama apabila tiba peringkat pelajarannya. Umpamanya konsep "tamat dan enam tolak enam", "makan gerak dalam gerak", " mara ke hadapan dalam gerak yang satu" dan lain-lain lagi. Kesemua pendekatan ini sama ada yang ditanamkan menerusi persilatan secara formal atau secara tidak formal menerusi percakapan, contoh perbuatan dan kiasan khususnya oleh Guru Utama amatlah ilmiah dan perlu kajian mendalam untuk mengetahui apa yang tersurat dan yang tersirat.

6. Pendekatan menerusi sistem pelajaran yang rapi dan terkawal

Sistem pelajaran Seni Silat Cekak telah digubal sebegitu rupa agar proses pengajaran dan pembelajarannya lebih menekankan aspek "membimbing" daripada "menghukum" dan dilakukan secara "berhikmah" tanpa disedari oleh penuntutnya.

Mata pelajarannya disusun agar penuntut dapat memahami secara berperingkat- peringkat sepertimana sistem akademik yang lain. Pelajarannya juga diajar sehingga ke peringkat tamat dan tahu menggunakannya dalam tempoh yang telah ditetapkan kerana sekiranya pelajaran tiada penyudah maka bercanggahlah dengan akal kita sendiri. Kalau belajar akademik di universiti pun ada tamatnya iaitu sehingga mendapat ijazah pertama, kedua atau sehingga ke peringkat doktor falsafah. Sekiranya belajar silat sehingga lima tahun pun tidak dapat tamat maka tidaklah munasabah.

Dalam usaha untuk mendidik penuntut-penuntutnya supaya mengenang jasa, Seni Silat Cekak telah menerapkan tiga daripada pantang larangnya agar penuntut tidak boleh menderhaka kepada guru, ibu dan bapa. Pengasas Seni Silat Cekak, Almarhum Ustaz Hanafi pernah menjelaskan seperti berikut :

"Apabila seseorang itu sudah melatih dirinya mentaati guru dan ibu bapanya, maka peribadi dan jiwanya akan baik dan bersih. Apabila rohnya bersih maka senanglah ia menghadapi Tuhan yang Sa dan dengan sendirinya dapat menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan-perbuatan maksiat."

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran buah-buah silat, jurulatih dimestikan menyampaikan pelajaran kepada setiap penuntut, bukan hanya menunjuk dan penuntut meniru perbuatannya. Prinsip "menyampai" dan bukan sekadar menunjuk ini sebenarnya mempunyai makna yang mendalam khususnya dalam menanamkan sifat amanah dan persaudaraan. Penuntut pula dapat menerima pelajaran secara terus daripada jurulatih yang telah diamanahkan oleh Guru tanpa sebarang perantaraan.

Seni Silat Cekak menganjurkan semangat sama rata dan persaudaraan tanpa mengira darjat dan pangkat tetapi tetap mengekalkan perasaan hormat menghormati menerusi sistem pelajaran dan pendidikan yang dianjurkannya. Perbezaan yang ada daripada segi pemberian bengkung hanyalah untuk membezakan ahli biasa dan tenaga pengajar sahaja. Ahli yang telah tamat dan mampu menjaga diri semuanya memakai pakaian seragam dan bengkung yang sama iaitu pakaian berwarna biru tua dan bengkung putih sahaja.

7. Pendekatan menerusi kandungan pelajaran (pergerakan,sasaran dan kuncian)

Pergerakan Seni Silat Cekak yang kelihatannya mudah dan ringkas sebenarnya boleh dikaji keberkesanannya secara saintifik. Pergerakannya yang berdasarkan gerak-geri semulajadi manusia amat sesuai digunakan dalam apa juga keadaan pendirian asas dan sistem pembelajarannya. Hal ini terjadi kerana pergerakkan silat ini bukan diilhamkan dari gerak haiwan atau mimpi yang sentiasa bercanggah dengan pendirian asal manusia.

Seni Silat Cekak mempunyai empat kaedah asas iaitu kaedah A, B, C dan D. Dengan adanya kaedah-kaedah ini, pengamal Silat Cekak tidak perlu mengelak ke kiri atau ke kanan apabila menghadapi musuh. Dalam pergaduhan sebenar kita tidak perlu ingat kesemua buah-buahnya, memadai dengan memahirkan diri mengunakan kaedah-kaedah tangkisan dan seterusnya buah-buah pukulannya akan terjadi sendiri mengikut kesesuaian dan keadaan si penyerang. Hal ini terjadi kerana Seni Silat Cekak mengajarkan "perdu" silat yang segenggam bukannya cabang-cabang silat yang segantang.

Sasaran pukulan Seni Silat Cekak ditujukan pada kawasan anggota badan yang bahaya dan memang diakui tidak boleh dilatih menjadi lasak seperti penyawa, bawah ketiak, pelipat dan lain-lain lagi. Latihan pukulan ke sasaran bersama-sama dengan tangkisan kaedah yang dibuat "segerak" serta gerakan memintas ke belakang musuh merupakan satu kelebihan kepada pengamal Seni Silat Cekak.

Seorang penuntut Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia iaitu Saudari Noorliza Noordin Merican telah berusaha membuat satu penyelidikan tentang kesan-kesan tangkisan dan sasaran pukulan Seni Silat Cekak dari sudut anatomi manusia. Tajuk penyelidikan beliau ialah "Kaedah A dan kawasan- kawasan yang boleh dicederakan olehnya serta kesan fizikalnya." Penyelidikan ini telah pun disempurnakan pada sidang akademik 1991/92.

Kuncian dan tangkapan buah-buah Seni Silat Cekak pula begitu kemas dan lengkap serta dapat dibuktikan kekemasannya secara praktikal serta dapat disesuaikan dengan keadaan musuh yang menyerang.

Di dalam kelas, jurulatih-jurulatih Seni Silat Cekak lazimnya membuat penjelasan dengan rapi tentang kesan dan akibat daripada sasaran pukulan dan kuncian bagi memudahkan penuntut memahaminya. Alasan kepada setiap pergerakan yang tidak boleh dilakukan, kerana ia amat memudaratkan dan dikhuatiri akan mencederakan juga dijelaskan.

8. Kesimpulan

Daripada pembentangan ringkas tentang pendekatan ilmiah dalam Seni Silat Cekak dapatlah disimpulkan seperti berikut :

Oleh sebab Seni Silat Cekak itu sendiri begitu ilmiah, maka di dalamnya telah tersimpul pendekatan- pendekatan yang begitu halus yang secara kasarnya dirumuskan oleh pengarang menerusi aspek bahasa dan istilah, konsep dan falsafah, sistem pelajaran dan kandungan mata pelajarannya. Beberapa pendekatan lain khususnya pendekatan menerusi sistem pentadbiran dan organisasi, kepimpinan persatuan dan persilatan sengaja tidak dihuraikan hanya disentuh secara rambang dalam sub tajuk sahaja. Pendekatan-pendekatan dalam Seni Silat Cekak ini sememangnya telah sedia tersusun dan termuat secara langsung dalam sistem persilatannya, cara kepemimpinannya, serta dalam pentadbiran persatuan dan juga tidak secara langsung menerusi teladan, teguran dan kiasan oleh Guru Utamanya.

Akhir kata, renungilah serangkap pantun Cekak ini dan telitilah betapa ilmiahnya Seni Silat Cekak :

Silat Cekak pada lahirnya
Pengertian gerak pada batinnya
Hendaklah mahir seluruh anggotanya
Hendaklah jujur pada jiwanya.
(Ustaz Hanafi Hj. Ahmad)

Pantun Silat Cekak

Lahirnya Cekak kerana kesedaran
bukan bermusuh sebagai tujuan
untuk mendaulatkan seni kebangsaan
mensesuaikan dengan makna kemerdekaan

Silat Cekak benar-benar asli
tidak bercampur hak luar negeri
hendaklah belajar bersungguh hati
untuk menjaga diri sendiri

Silat Cekak tersangatlah mudah
bagi mereka yang mendapat hidayah
sungguhpun begitu hendaklah tabah
Insya-Allah mendapat faedah

Silat Cekak pada lahirnya
pengertian gerak pada batinnya
hendaklah mahir seluruh anggota
hendaklah jujur pada jiwanya

Taat ke guru membawa berkat
sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat

Sebenar guru ada hakikat
dikuat pula amalan syariat
ditambah pula ilmu makrifat
berpakaian pula dengan isyarat

Dua ibu bapa tak boleh derhaka
besar jasanya kepada kita
kalau menderhaka bahaya menimpa
diakhirat kita masuk neraka

Wajiblah menjaga diri sendiri
menerima amanah Tuhan Rabbi
supaya menjadi mukmin sejati
demi menegak Islam yang suci.

Pantun Silat Cekak telah dicipta oleh Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad. Tujuan pantun ini adalah untuk memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat Cekak bahawa Silat Cekak lebih banyak menekankan kepada pendidikan rohani dan jasmani yang tidak terkeluar dari landasan Islam. Menurut keterangan dari ahli-ahli Silat Cekak, pantun ini dicipta pada tahun 1975.

Lagu Warisan Mutlak

Dengan jiwa yang mulia kita bersatu
Pusaka Melayu dipelihara
Silat Cekak warisan mutlak
Seni kebudayaan kita

Berusaha sentiasa kita bersedia
Diri sendiri perlu dijaga
Silat Cekak warisan mutlak
Mari bersama kita jayakannya

Dengan guru yang ada hakikat
Serta amalan syariat
Tambah dengan ilmu makrifat
Munafaatnya sungguh hebat

Penuh azam mencapai matlamat kita
Mempertahankan kedaulatannya
Silat Cekak warisan mutlak
Demi agama, bangsa dan negara

Lagu dan Lirik - Johari salleh (1990)
 

NOKIA RINGTONE


Silat Cekak Warisan Mutlak (Tempo=140)

8f1, 8f1, 8f1, 4d2, 4c2, 4#a1, 4a1, 4.g1, 8f1, 4e1, 32-, 4c1, 4.f1, 8c1, 8f1, 8c1, 8f1, 8g1, 4.a1, 32-, 8f1, 8f1, 8f1, 4d2, 4c2, 4#a1, 4a1, 4.g1, 8f1, 4e1, 32-, 8c2, 8c2, 8c2, 4b1, 4b1, 8b1, 8c2, 8d2, 8b1, 4.c2

Silat Cekak Warisan Mutlak (Tempo=140)

8d1, 8b1, 8a1, 4g1, 8g1, 8a1, 4b1, 8b1, 8d2, 4c2, 4b1, 4a1, 8a1, 8c2, 4b1, 8b1, 8a1, 8g1, 8#f1, 8g1, 8b1, 2a1, 4-, 8g1, 8#f1, 4e1, 4c2, 8-, 8e1, 8#f1, 8e1, 4d1, 4b1, 8-, 8d1, 8d1, 8d1, 4e1, 8#f1, 8g1, 4
 

Yang kanan sekali tu la saya... Gambar ni kat Dataran Merdeka
Asal saya dari Kedah, tu yang minat silat ni...


JIKA INGINKAN MAKLUMAT LANJUT SILA KLIK BANNER DI BAWAH